Tiga negeri masuk dalam IMT-GT jayakan 3 inisiatif

Facebook
Twitter
LinkedIn

PUTRAJAYA – Setelah 28 tahun ditubuhkan, tiga negeri lagi dimasukkan dalam senarai baharu kumpulan kerjasama wilayah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara itu ketika beliau tampil julung kali mempengerusikan Sidang Kemuncak IMT-GT Ke-13 secara maya hari ini.

“Saya dengan ini menyambut kemasukan Johor, Terengganu dan Pahang sebagai ahli baharu sekali gus melengkapkan seluruh Semenanjung Malaysia dalam koridor ekonomi ini,” jelasnya.ADVERTISING

IMT-GT diwujudkan pada 1993 dengan asalnya hanya meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan sebelum diperluaskan kepada Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Di Thailand, blok iktisad bersasar ini membabitkan 14 wilayah selatan negara itu yang majoriti penduduknya beragama Islam dari etnik Melayu Siam atau turut disebut sebagai Tambralinga.

Di Indonesia, ia juga sudah dikembangkan mencakupi Riau dan Bangka selain semua wilayah Sumatera iaitu Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Riau, Jambi, Belitung dan Lampung.

Turut serta persidangan pada kali ini ialah Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha dan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Paduka Lim Jock Hoi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, cadangan perluasan wilayah itu sejajar pelaksanaan Koridor Ekonomi 6 yang turut dipersetujui Malaysia serta pelarasan semula lima koridor lain. – K! ONLINE

Sumber: kosmo.com.my