Johor, Terengganu, Pahang ahli baharu Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand

Facebook
Twitter
LinkedIn

PUTRAJAYA: Setelah 28 tahun ditubuhkan, tiga negeri lagi dimasukkan dalam senarai baharu kumpulan kerjasama wilayah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara itu ketika tampil julung kali mempengerusikan Sidang Kemuncak IMT-GT Ke-13 secara maya hari ini.

“Saya dengan ini menyambut kemasukan Johor, Terengganu dan Pahang sebagai ahli baharu sekali gus melengkapkan seluruh Semenanjung dalam koridor ekonomi ini,” jelasnya.

IMT-GT diwujudkan pada 1993 dengan asalnya hanya meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan sebelum diperluaskan kepada Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.489.0_en.html#goog_1881988830https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.489.0_en.html#goog_1416103544https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.489.0_en.html#goog_906431612https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.489.0_en.html#goog_1596598243

Di Thailand, blok iktisad bersasar itu membabitkan 14 wilayah selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam dari etnik Melayu Siam.

Di Indonesia, ia juga sudah dikembangkan mencakupi Riau dan Bangka selain semua wilayah Sumatera iaitu Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Riau, Jambi, Belitung dan Lampung.

Turut serta persidangan pada kali ini ialah Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha dan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Paduka Lim Jock Hoi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, cadangan perluasan wilayah itu sejajar pelaksanaan Koridor Ekonomi 6 yang turut dipersetujui Malaysia serta pelarasan semula lima koridor lain.

“Penyusunan enam koridor ini disarankan Bank Pembangunan Asia (ADB) bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi di seluruh benua Asia dapat dioptimumkan lebih sistematik,” jelasnya.

Katanya, langkah berkenaan termasuk dalam tiga inisiatif utama digariskan Malaysia sebagai Pengerusi IMT-GT baharu dengan inisiatif pertama yang melibatkan perluasan koridor iktisad.

Ini meliputi usaha mengarusperdanakan pembangunan kawasan urban secara mampan di semua kota besar selaras dengan Rangka Kerja Kemajuan Perbandaran Mampan (SUDF).

Usaha tersebut kata beliau, sudah dimulakan Malaysia yang bakal membangunkan sekurang-kurangnya 12 pelan tindakan bandar hijau di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Inisiatif kedua pula ialah meningkatkan tonggak institusi IMT-GT menerusi Majlis Perniagaan Bersama (JBC) yang turut telah didaftarkan kerajaan Malaysia secara formal pada 2018 lalu.

“Keutamaan tertinggi kami ialah memperkukuhkan JBC dengan penstrukturan semula urus tadbir dan memperkasakan penyampaian segala projek yang dirancang,” kata Ismail Sabri.

Malaysia jelasnya, akan menggerakkan JBC bagi meningkatkan pelaburan swasta dalam tindakan perubahan iklim dan mempromosi teknologi hijau untuk memecut pelaksanaan SUDF.

Sementara inisiatif ketiga, beliau berkata, memantapkan semula hubungan dengan pelbagai negara sahabat untuk faedah bersama bagi mengoptimumkan Pelan Implementasi 2022-2026.

Sumber: utusan.com.my